Wikipedia

Search results

Wednesday, 9 September 2015

Pemerdagangan Manusia dan Penderaan Kanak (Kerja kursus Lau Zheng Hao)



1.0 Pengenalan
            Zaman berubah bagaikan musim berubah. Dari zaman falsafah ke zaman Renaisans. Akhirnya kita telah sampai ke zaman sains dan teknologi. Dalam zaman ini, masalah-masalah sosial sering menghiasi dada akhbar dan meniti dari bibir ke bibir umat manusia di seluruh dunia. Antara masalah sosial yang paling kronik dan menjadi khuatiran orang ramai termasuklah pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak.
          
               Di Malaysia telah banyak berlaku isu pemerdagangan manusia. Sebagai contoh pada 18 Mei lalu di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar  berkata, kira-kira 300 anggota pasukan komando VAT-69 telah diarahkan untuk menggeledah hutan tebal di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mengesan aktiviti pemerdagangan manusia. Operasi itu dilancar selepas pihak berkuasa Thailand menemukan beberapa kubur besar pendatang asing di dua kem milik sindiket pemerdagangan manusia di sekitar Padang Besar, Songkhla, pada awal bulan Mei. Setakat ini, lebih 60 kubur besar pelarian ditemui di beberapa lokasi di wilayah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia. Menurut Pemerdagangan Manusia 2011 keluaran kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Malaysia telah banyak menjadi tumpuan bagi pemerdagangan manusia. Malaysia menjadi negara destinasi bagi banyak imigran dari luar negara khususnya dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Bangladesh, Pakistan, dan Vietnam dengan tujuan untuk mencari peluang ekonomi yang lebih besar. Sesetengah imigran yang dibawa masuk ke Malaysia dipaksa bekerja secara paksa atau bekerja kerana terikat dengan hutang kepada majikan, agen pekerjaan, atau perekrut buruh tidak formal. Sejumlah besar wanita muda direkrut untuk bekerja di restoran dan hotel di Malaysia, yang mana sesetengah mereka datang dengan menggunakan visa “Pegawai Perhubungan Pelanggan,” namun kemudian dipaksa untuk bekerja dalam industri seks komersial di Malaysia.
            Selain itu, penderaan kanak-kanak bermaksud satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan atau tindakan zalim yang dilakukan terhadap golongan kanak-kanak. Biasanya ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Kebelakangan ini, kes penderaan kanak-kanak semakin meleluasa. Berita kekejaman yang dilakukan terhadap kanak-kanak sering dipaparkan di media massa sama ada media elektronik atau media cetak. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 orang kanak-kanak di Malaysia telah menjadi mangsa penderaan kanak-kanak. Penderaan kanak-kanak telah menjadi salah satu masalah global yang gempar. Jika masalah penderaan tidak dicegah dengan segera, ia akan memberi impak yang serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Di samping itu, kehidupan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka juga akan dijejaskan.

2.0 Pemerdagangan Manusia

2.1 Pengenalan terhadap Pemerdagangan Manusia

            Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaanpelacuran, dan buruh paksa 
Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Memandangkan Malaysia merupakan destinasi popular di kalangan pekerja asing atas sebab ekonomi atau sebagai negara transit, kumpulan pekerja ini terdedah menjadi mangsa pemerdagangan seks dan buruh. Aduan berkaitan isu pemerdagangan orang sentiasa dilaporkan kepada SUHAKAM selama ini. .

2.2 Punca-punca berlakunya Pemerdagangan Manusia

            Antara punca pemerdagangan manusia termasuklah pemerdagangan haram ini dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan walaupun risikonya tinggi. Hal ini demikian kerana golongan miskin ini sanggup berhijrah secara haram dan dijanjikan pekerjaan sanggup membayar upah yang tinggi kepada sindiket. Bukan itu sahaja, sindiket juga dapat keuntungan melalui upah yang diberi oleh pelanggan.
            Tarikan pekerjaan dan pendapatan lumayan di negara asing dalam pelbagai sektor juga merupakan sebabnya berlaku pemerdagangan mausia. Antara sektor haram yang menjadi tarikan di negara luar termasuklah pelacuran. Sementelahan  golongan yang tertindas juga terpaksa untuk diperdagangkan ke luar negara untuk melarikan undang-undang negara sendiri.
            Selain itu, kelemahan kawalan dan penguatkuasaan undang-undang di sempadan negara juga telah memudahkan berlakunya pemerdagangan manusia. Kajian telah menunjukkan bahawa kawasan- kawasan khasnya kawasan yang mempunyai sempadan dan pesisir pantai yang panjang dan terpencil sering menjadi laluan untuk pemerdagangan manusia atas kawalan yang buruk dan lemah. Kelicikan majikan pemerdagangan manusia dan kepelbagaian mekanisma penyeludupan yang digunakan juga merupakan sebab berlakunya pemerdagangan manusia. Sesetengah majikan yang sanggup merasuah pegawai kerajaan juga telah banyak mendorong kes ini berlaku.
Di samping itu punca pemerdagangan manusia lain juga disebabkan oleh amalan manusia yang diperdagangkan itu sendiri. Mereka yang kekurangan didikan agama dan moral ini sanggup menghina badan sendiri hanya untuk mendapatkan wang. Tegasnya, mereka yang bersikap materialistik ini telah banyak mendorong berlakunya kes-kes pemerdagangan manusia.
            Bukan itu sahaja, faktor alam semulajadi juga mempengaruhi kerana Malaysia tidak mengalami bencana alam seperti di Indonesia, keadaan negara aman dan selamat. Kedudukan yang strategik dan persempadanan antara Indonesia dan Malaysia membuatkan mangsa tertarik untuk bekerja di Malaysa. Ini kerana memudahkan mereka untuk pulang ke kampung halaman dan masa yang diambil tidak terlalu lama. Selain itu, terdapat faktor-faktor lain yang membawa kepada masalah ini iaitu kawalan persempadanan yang longgar serta tambang penerbangan yang murah.
            Kecanggihan teknologi juga turut  menjadi medium utama punca berkembangnya jenayah ini. Melaluinya pelanggan hanya perlu memilih dan melanggan melalui laman web yang dibina dan ini amat menggalakkan ekorang permintaan yang tinggi dan mudahkan mereka untuk melanggan.
            Akhir sekali, globablisasi merupakan faktor yang sangat-sangat mempengaruhi aktiviti pemerdagangan orang, di mana dunia rentas sempadan ini sukar untuk mengawal aktiviti jenayah terancang rentas sempadan. Ianya berlaku dengan pantas selari dengan arus globalisasi dan sukar dikesan aktivitinya.

2.3 Kesan-kesan Pemerdagangan Manusia kepada Masyarakat dan Negara

            Kesan pemerdagangan manusia primer kepada negara termasuklah mencemarkan imej negara di mata dunia. Kedudukan Malaysia dalam senarai 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu permerdagangan manusia akan mencemarkan imej negara di mata dunia. Hal ini demikian kerana pemerdagangan manusia yang berlaku dalam sesebuah negara telah menunjukkan sesebuah negara itu lemah dalam mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang. Dengan itu, negara itu pasti akan dianggap sebagai sarang jenayah dalam tanggapan orang lain.
            Pemerdagangan manusia juga mengancam keselamatan dan keamanan sesebuah negara. Jenayah yang semakin berleluasa mengancam keselamatan terutamanya wanita dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuklah pelacuran , pusat hiburan dan rumah urut. Sindiket atau mereka yang terlibat juga melakukan aktiviti jenayah lain untuk mengumpulkan kekayaan. Bukan itu sahaja, pemerdagangan manusia juga akan menyebabkan berlakunya penularan penyakit yang berbahaya dan menjejaskan kesihatan rakyat tempatan secara langsung. Sebagai contoh, penyakit-penyakit berjangkit seperti tibi, penyakit kelamin dan hepatitis akan banyak kembali menular dalam kalangan masyarakat.
            Selain itu, pemerdagangan manusia juga telah menjejaskan hubungan diplomatik antara negara. Hal ini demikian kerana penyeludupan dan pemerdagangan manusia telah melanggar hak sesebuah negara dan isu-isu yang berlaku menjejaskan hubungan diplomatik antara Negara. Isu-isu seperti penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah menimbulkan rasa tidak puas hati antara negara yang terlibat.
            Di samping itu, pemerdagangan manusia juga menyebabkan masalah sosial bertambah merebak dalam kalangan masyarakat seperti berpeleseran, pelacuran, seks bebas, minum arak dan sebagainya.

2.4 Langkah-langkah mengatasi Pemerdagangan Manusia 

            Kerajaan Malaysia amat memandang serius untuk membanteras jenayah ini dan telah menubuhkan Akta Anti Pemerdagangan Orang (AKTA 670) pada tahun 2007 bagi melindungi mangsa dan mengheret si keji yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini ke muka pengadilan. Parlimen Malaysia juga telah mengesahkan bahawa Akta Anti Pemerdagangan Orang (AKTA 670) ini telah berkuatkusa pada 24 April 2007 dan mengikut seksyen di bawah akta ini pesalah akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun serta boleh dikenakan denda bagi kesalahan memperdagangkan orang bukan kanak-kanak bagi maksud eksplotaisi.
            Kementerian berkenaan harus memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada jenayah perdagangan manusia, Bukan itu sahaja, kementerian berkenaan patut mengadakan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan kemasukan warga asing bagi tujuan tertentu. Penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan majistret telah mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan Orang 2007 supaya mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit. Sebagai contoh, mereka telah menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang, pelabuhan, dan pintu sempadan antara sangat diperlukan bagi menggembleng usaha membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.
            Selain itu, kerjasama antara negara jiran sewajarnya dijalinkan. Malaysia dan Australia baru-baru ini telah bersepakat untuk meningkatkan kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan. Oleh itu, negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau, perkongsian bijak terutamanya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan. Kerjasama di peringkat sempadan perairan negara juga amat penting. Sebagai contoh, pasukan keselamatan Malaysia boleh menjalankan operasi rondaan secara berjadual dan intensif dengan negara-negara jiran. Mereka boleh berkongsi maklumat tentang taktik, lokasi, dan negara pembekal dan berusaha mengenal pasti ‘lubang-lubang tikus’.
            Selain daripada bekerjasama dengan negara jiran, pihak kerajaan juga harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguatkuasa setiap negara. Badan-badan penguatkuasa atau jabatan-jabatan yang masih menjadi kambing hitam termasuklah imigresen, kastam, polis marin, RELA dan organisasi yang sama di negara-negara jiran. Sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan rasuah merupakan tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara dan mestilah dibanteras hingga ke akar umbi bagi mengatasi masalah pemerdagangan manusia yang kronik ini.

2.5 Komen Penutup

            Ditelan mati emak, diluah mati bapa, demikianlah suasana kehidupan berjiran. Sebarang masalah yang dihadapi yang berkaitan dengan hubungan jiran memerlukan tindakan yang teliti dan bijaksana. Biarlah segala tindakan bersama menatijahkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam isu pemerdagangan manusia ini, pihak negara berjiran terpaksa berurusan pula dengan pihak ketiga iaitu negara pembekal dan negara penerima. Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana.
            Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman untuk membendung jenayah ini, tetapi kelemahan di negara asal mangsa untuk mencegah dan mendidik rakyatnya telah menyebabkan rakyatnya mudah diperdaya serta didorong oleh masalah dalaman dalam negara tersebut yang telah menjadi faktor penolak untuk rakyatnya mencari alternatif lain demi sesuap nasi sehinggakan mereka yang tidak bersalah ini menjadi mangsa kepada si keji yang sanggup malakukan jenayah ini demi kepentingan diri sendiri sehinggakan sanggup melakukan perkara-perkara yang berada di luar nilai kemanusiaan.
            Justeru,kerjasama daripada semua masyarakat dunia merupakan jalan penyelesaian paling efektif yang patut dipraktikkan. Janganlah kita hanya berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja beban ini dipikul oleh pihak berkuasa. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga bagi membanteras jenayah ini agar tiada lagi mereka yang lemah menjadi mangsa kepada jenayah pemerdagangan orang.

3.0 Penderaan Kanak-Kanak

3.1 Pengenalan terhadap Penderaan Kanak-kanak

            Penderaan kanak-kanak dibahagikan kepada penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosional dan pengabaian kanak-kanak.
            Penderaan fizikal dianggap sebagai suatu fenomena sosial yang ditakrifkan sebagai keganasan secara fizikal terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga atau sesiapa saja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak tersebut. Penderaan fizikal termasuklah menggunakan alat atau pelbagai cara untuk mendera selain memukul menggunakan tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecair panas, dicucuh dengan besi atau benda panas, puntung rokok atau ubat nyamuk, dirantai, diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit, dikepit atau dipulas dan sebagainya.
            Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Penderaan seksual melibatkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan dipaksa melacur.
            Penderaan emosi kanak-kanak merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama daripada segi mental dan emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga yang terlibat terhadap kanak-kanak. Penderaan emosional merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup atau membenci kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya tidak dibenarkan berkawan atau bermain sesama mereka, mereka sering dimarahi, ditengking, ditakut-takuti dan ahli keluarga bermusuhan dengan kanak-kanak.
            Pengabaian kanak-kanak merujuk pada pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi keperluan asas seperti keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal (Ammerman & Hersen, 1990:28). Salah satu contoh adalah kanak-kanak dipaksa bekerja, kanak-kanak tidak disediakan dengan makanan yang secukupnya serta kanak-kanak tidak diberi pakaian, rawatan kesihatan atau tempat kediaman yang sempurna. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak akan berasa tersisih dan tidak tentu arah. Oleh itu kanak-kanak berkenaan mempunyai perasaan takut apabila berhadapan dengan orang lain dan mereka akan berkelakuan ganjil.

3.2 Punca-punca Penderaan Kanak-kanak berlaku

            Punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kebelakangan sesebuah keluarga. Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak-kanak termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Selain itu, sesetengah ibu bapa juga akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti. Kalau tidak, ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi karenah anak-anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila ditambah pula dengan kenaikan harga minyak belakangan ini yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak-anak itu didera.
            Bukan itu sahaja, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca berlakunya penderaan kanak-kanak. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka pernah menjadi mangsa penderaan dan anak-anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Keadaan ini akan menjadi lebih kronik apabila ibu dan bapa mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat meminum minuman beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah , mereka tidak akan menyedari akan pembuatan mereka sendiri apabila mendera anak-anak mereka.
            Di samping itu, kurangnya pendidikan agama dalam kalangan pasangan suami isteri juga merupakan antara penyebab masalah penderaan kanak-kanak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak ramai dalam kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka. Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri.
            Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga menyebabkan berlakunya kes penderaan kanak-kanak ini. Sebagai negara yang berdemokrasi parlimen dan mempunyai undang-undang, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya sejajar dengan undang-undang yang telah ditetapkan. Ibu bapa atau penjaga yang mendera kanak-kanak sepatutnya diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa anak-anak bukanlah boneka yang tidak bernyawa dan boleh diperlakukan seperti boneka yang tidak bernyawa. Apabila sudah menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan, nyawa anak sudahpun menghilang dan tidak dapat dikembalikan.   




3.3 Kesan-kesan Penderaan Kanak-kanak terhadap Masyarakat dan Negara

            Apabila masalah berlaku kepada kanak-kanak, maka pembangunan emosi kanak-kanak akan terbantut. Makna terbantut dalam konsep ini adalah kanak-kanak tidak mampu untuk mewujudkan rasa empati dan simpati dalam diri mereka kerana. Hal ini sekaligus menyebabkan timbulnya rasa dendam dalam diri mereka. Semua disebabkan masalah untuk mewujudkan rasa empati dan simpati.
            Kesan penderaan kanak-kanak juga menyebabkan pendera berkemungkinan akan bertindak dengan lebih agresif dari semasa ke semasa. Hal ini kerana tindakannya dalam kes-kes penderaan yang dilakukannya terdahulu tidak mengakibatkan kesan yang buruk ke atas dirinya. Jadi, tidak mustahil pendera akan menjadi jauh lebih agresif dan tidak lagi mengenal mangsanya. Pendera juga berkemungkinan merasa tekanan emosinya hanya dapat dilepaskan dengan melakukan keganasan ke atas individu lain, oleh itu menyebabkan dirinya lebih cenderung untuk melakukan penderaan berulang-ulang kali.  Selain itu, ini juga mengakibatkan pendera lebih cenderung untuk melakukan kes-kes penderaan yang lebih agresif dan melibatkan lebih ramai mangsa, dan merebak ke dalam masyarakat.
            Kes penderaan kanak-kanak juga mewujukan masalah interaksi dalam kalangan kanak-kanak.Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang didera akan berasa takut dan terasing. Rasa takut ini menyebabkan mereka lebih cenderung untuk merahsiakan masalah mereka kepada orang lain kerana rasa takut dengan ugutan yang dilakukan oleh pendera. Masalah ini mewujudkan masalah interaksi untuk menyelesaikan masalah mereka.
            Selain itu, penderaan kanak-kanak juga menjatuhkan maruah negara. Orang lain akan berasa negara tersebut tidak mementingkan hak kanak-kanak dan tidak berupaya mengawal masalah dalam negara. Sementelahan, emosi kanak-kanak juga akan terjejas dan hal ini akan menimbulkan kesan yang buruk ke atas perkembangan sahsiah mereka. Dengan itu, pastilah pembangunan sesebuah negara akan terjejas secara langsung disebabkan kekurangan kanak-kanak yang dikatakan merupakan bakal pucuk pimpinan negara yang sihat dari segi fizikal dan mental.

3.4 Langkah-langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-kanak

            Salah satu daripada cara untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia”  dan juga pendidikan keibubapaan bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengidam-idamkan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini dan pendidikan ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kes penderaan kanak-kanak.
            Selain itu, masyarakat juga haruslah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Hal ini amat penting bagi mendidik anak-anak mereka dari kecil supaya dapat membezakan antara kebaikkan dan keburukkan dalam melakukan sesuatu tindakan. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam pergaulan sosial yang melampau seperti pergaulan bebas daripada berlaku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mengawal segala aktiviti harian anak-anak mereka dengan lebih ketat. Sementelahan, ibu bapa juga sewajarnya menitikberatkan didikan agama. Ibu bapa harus sedar bahawa agama melarang keras ibu bapa menganiayai anak-anak. Perbuatan yang terkutuk ini akan mendapat balasan di akhirat kelak.
            Masyarakat haruslah sentiasa peka dengan keadaan di sekelilingnya. Jika mendapati terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, mereka haruslah segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat yang mungkin tanpa mempedulikan ancaman daripada jiran mereka. Selain itu, pengawalan keselamatan di sekeliling kediaman penduduk haruslah diperketatkan. Hal ini amatlah penting bagi memastikan tidak ada seorang pun yang berani mendera kanak-kanak secara sesuka hati serta dapat memastikan kanak-kanak mendapatkan perlindungan daripada didera serta disakiti oleh mana-mana pihak yang tidak bermoral itu.
            Selain itu, penderaan terhadap kanak-kanak boleh dibendung melalui menguatkuasakan undang-undang. Mereka yang bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman dirotan atau dipenjara. Hanya hukuman seperti ini yang dapat menyedarkan ibu bapa tentang kesalahan mereka. Di samping itu, hukuman seperti ini juga memberi pengajaran kepada pasangan yang lain supaya tidak mendera anak-anak mereka. Bagi memastikan undang-undang ini berkesan, setiap anggota masyarakat perlu bekerjasama dan melaporkan kes-kes deraan kepada pihak yang berwajib, iaitu pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

3.5 Komen Penutup

            Secara keseluruhannya, penderaan kanak-kanak perlu diutamakan bagi memastikan setiap kanak-kanak yang didera dapat diselamatkan dan mengurangkan masalah seperti ini daripada berlaku. Melihat kehendak negara pada hari ini yang memerlukan pemimpina masa hadapan yang berkualiti maka, nasib kanak-kanak dan remaja perlu untuk dibela sekaligus memastikan mereka dapat membesar dengan baik dan sempurna.
            Oleh itu, masyarakat perlu benar-benar kenal erti sebenar penderaan bagi memastikan kita dapat mewujudkan rasa simpati sekaligus dapat bersama-sama melindungi hak kanak-kanak daripada terus dicabul oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan. Maka jelaslah bahawa kita perlu memandang serius masalah ini agar kita dapat sama-sama membendung, mengelakkan, mengurangkan sekaligus memastikan isu ini dapat diselesaikan secara keseluruhannya tanpa sebarang kompromi. Perbuatan penderaan kanak-kanak seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting Negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Oleh yang demikian, sayangilah anak- anak dan jauhilah kes penderaan kanak- kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

5.0 Penutup

            Kes pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak merupakan suatu tindakan zalim yang bertentangan dengan agama. Hal ini kerana perbuatan sedemikian tidak menghormati hak manusia dan telah mencemarkan anggota badan seseorang yang dikurniakan oleh Tuhan. Ingatlah, kita merupakan amanah Tuhan yang sangat suci dan bersih.
            Sudah terang lagi bersuluh bahawa kedu-dua kes ini iaitu pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak telah banyak berlaku di negara kita yakni Malaysia. Keadaan ini telah banyak menjejaskan imej negara di persada dunia dan hal ini telah meruntuhkan perkembangan ekonomi di negara kita. Oleh itu, isu pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak haruslah diatasi bukan sahaja melalui satu pihak sahaja tetapi melibatkan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat. Masalah ini perlu dibendung segera agar tidak terus menular menjadi semakin serius.
            Marilah kita bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah-masalah ini supaya negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara atas angin. Dengan itu, pastilah Wawasan 2020 yang sering diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita dapat dicapai dan tidak akan menjadi omongan kosong dan ‘angan-angan Mat Jenin’ sahaja!

Rujukan
Sumber dari Buku
Corby, B. (1993). Child abuse : towards a base knowledge. Buckingham: Open University             Press.
Lydon, J. (2005). Research on physical of abused people. Dalam J. Lydon, How child were           abuse (hlm. 17). Wales: University Of South Wales UK Publication.
Piaget, J.. (2000). Children abuse. USA: MgGraww Hill.

Sumber dari Internet
Bernama (4.6.2015). Sindiket Pemerdagangan Rohingy. Dimuat turun dari http://www.astroawani.com/berita-malaysia/infografik-sindiket-pemerdagangan-rohingya-61620 pada 1.9.2015
Hidayah Mohammad, (25.9.2013), Sindiket Jual Organ dan Pemerdagangan Manusia di dunia, dari http://news.upickreviews.com pada 2.9.2015.
Helmi. (08 Sep 2004). Penderaan Kanak-Kanak. Dimuat turun dari http://pts.com.my/berita/penderaan-kanak-kanak-konsep-dan-teori pada 26.8.2015.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (9.9.1999). Pemerdagangan Manusia. Dimuat turun dari http://www.suhakam.org.my/ms/human-trafficking/ pada 1.9.2015.

 

Sumber dari Akhbar
MD AZRIN ROSLY. (17.8.2015). Kes dera kanak-kanak membimbangkan. UTUSAN,7.

 

No comments:

Post a Comment