1.0 Pendahuluan
Untuk
pengetahuan umum dalam era moden ini, pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak adalah
satu bentuk perhambaan. Pemerdagangan
manusia berlaku ekoran daripada permintaan terhadap tenaga buruh,
perkhidmatan seksual, jeratan hutang dan kemiskinan. Pada kebiasaannya, jenayah
pemerdagangan manusia ini merentasi sempadan dan menjatuhkan maruah serta
martabat sehingga mereka diperdagangkan, mangsa yang terlibat biasanya tidak
diberi sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan mereka akibat
daripada kawalan ketat oleh sindiket.
Hasil kajian daripada badan-badan bebas dan beberapa kes
didapati, Malaysia khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk wanita
dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial manakala
lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.
Menurut Kajian Kesatuan Eropah dan Jabatan Negara Amerika, pemerdagangan manusia ini dapat menjana keuntungan yang lumayan dan dianggarkan sebanyak US 33 bilion setahun (angka tidak rasmi). Pemerdagangan manusia bukan saja berlaku di negara-negara mundur tetapi juga di negara-negara maju.
Menurut Artikel 3 Protokol Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mencegah, menyekat dan menghukum pemerdagangan manusia terutamanya dalam kalangan wanita dan juga kanak-kanak telah mendefinisikan pemerdagangan manusia sebagai pengangkutan, pemindahan atau penerimaan orang dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan lain, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan kerentanan, atau memberi atau menerima bayaran atau pemanfaatan untuk mencapai persetujuan seseorang yang mempunyai kawalan ke atas orang lain, untuk tujuan eksploitasi iaitu pelacuran, buruh paksa atau perhambaan dan pemindahan organ-organ.
Selain itu, sesetengah ibu bapa
yang terlalu mementingkan pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap
anak-anak. Peranan ibu bapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang
dilahirkan menjadi insan yang sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang
yang secukupnya, mereka haruslah dibelai dan diberi segenap perhatian. Walau
bagaimanapun, harapkan pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan
ini mempunyai kebenarannya. Ini terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat
dalam penderaan kanak- kanak. Jika tidak diselak dada akhbar sesekali kita akan
digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang sering dipaparkan di dada
akhbar yang kini menjadi bualan hangat dari bibir ke bibir seantero rakyat
Malaysia mengenai kes penderaan kanak-kanak yang semakin mencatatkan angka yang
membimbangkan. Media massa tidak pernah terlepas daripada memaparkan isu
penderaan yang sering dilakukan oleh ibu bapa kandung anak itu sendiri. Angka
kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat dan tidak pernah menurun.
2.0 Pemerdagangan manusia
2.1 Pengenalan Isu Pemerdagangan Manusia
Pemerdagangan manusia
adalah
perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia
secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini
digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk
kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi
tujuan perhambaan, pelacuran,
dan buruh paksa (termasuk
melalui ikatan hutang). Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa
orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba
atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk
untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah
perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis
dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Menurut Pemerdagangan Manusia 2011 keluaran kedutaan Amerika Syarikat di
Kuala Lumpur, Malaysia menjadi negara destinasi bagi banyak imigran dari luar
negara khususnya dari negara jiran atau negara Asean dengan
tujuan untuk mencari peluang ekonomi yang lebih besar. Sesetengah imigran yang
dibawa masuk ke Malaysia dipaksa bekerja secara paksa atau bekerja kerana
terikat dengan hutang kepada majikan, agen pekerjaan, atau perekrut buruh tidak
formal. Ramai pesalah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah dari kalangan
ahli perniagaan, ia juga didalangi oleh sindiket jenayah terancang yang besar.
Kanak-kanak, wanita muda dan remaja merupakan mangsa utama bagi pelaku
pemerdagangan manusia. Ini disebabkan mereka dianggap senang dikawal dan tidak
berupaya untuk melakukan sebarang tindakan di luar jangkaan. Ini boleh
dikaitkan juga dengan fikiran mereka yang belum matang dan juga tidak dapat
melindungi sendiri. Ini adalah kelebihan yang digunakan oleh penjenayah untuk
menjalankan kegiatan mereka. Mangsa-mangsa biasanya dijual kepada orang kaya
dengan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Di samping itu, mereka juga
dimanfaatkan untuk kegiatan pengagihan dadah.
2.2
Punca-punca Pemerdagangan Manusia Berlaku
Kemiskinan dan kekurangan peluang
pekerjaan di daerah asal merupakan salah satu punca berlakunya aktiviti
pemerdagangan manusia. Kemiskinan di negara asal membuatkan mangsa berusa
mengubah taraf hidup. Antara cara yang boleh diambil oleh mereka adalah dengan
berhijrah ke negara yang lebih maju dan banyak mempunyai peluang pekerjaan.
Untuk berhijrah ke negara yang lebih maju, mereka perlu berusaha dengan
pihak-pihak tertentu. Pada masa yang sama, terdapat pihak yang cuba mengambil
kesempatan seperti agensi perekrutan. Agensi ini membawa migran ke negara lain
dan memaksa migran menjadi buruh paksa atau pelacur.
Permintaan tenaga buruh yang
tinggi di sesebuah negara mendorong berlakunya kegiatan pemerdagangan orang.
Pihak sindiket pemerdagangan orang mengambil kesempatan ini dengan membekalkan
buruh untuk mengaut keuntungan. Sindiket-sindiket ini menyamar sebagai agensi
pekerjaan untuk membantu buruh asing, namun mereka mengeksploitasi buruh-buruh
tersebut akibat kelemahan dalam sistem perundangan. Apakah sampai dinegara yang
dijanjikan, buruh-buruh tersebut akan dipaksa bekerja dengan upah tidak
setimpal. Hal ini juga menunjukkan bahawa hak asasi mereka sebagai manusia
telah dirampas.
Penguatkuasaan undang-undang yang
lemah membuatkan kegiatan ini semakin berleluasa. Hukuman berat
sepatutnya dikenakan kepada sesiapa sahaja yang menjadi dalang kepada kegitan
ini. Selain itu, hukuman yang berat sepatutnya dikenakan kepada pihak
yang mengambil pekerja daripada sindiket pemerdagangan orang ini. Ketiadaan
hukuman yang berat membuatkan dalang sindiket berani untuk menjalankan
kegiatan jenayah pemerdagangan orang. Jelaslah di sini bahawa penguatkuasaan
yang lemah menjadi punca jenayah ini semakin berleluasa.
Keuntungan yang lumayan hasil aktiviti
pemerdagangan orang mendorong kegiatan ini terus berleluasa. Sikap
materialistik menjadi pihak sindiket hilang peri kemanusiaan. Mereka sanggup
mengeksploitasi orang yang memerlukan pekerjaan dengan memberikan kerja-kerja
seperti buruh kasar atau pelacur. Pulangan yang lumayan menjadikan mereka gelap
mata dan seterusnya mengabaikan hak asasi dan martabat mangsa. Dengan
mengeksploitasi mangsa, mereka akan memperoleh wang yang banyak manakala mangsa
terus menderita kerana tidak dilayan dengan adil. Justeru, masalh ini wajar
dipandang serius kerana dapat menimbulkan trauma kepada mangsa.
Peluang pendidikan yang rendah yang
tidak sama rata antara kanak-kanak perempuan dan lelaki di kawasan bandar dan
luar bandar. Pada kebiasaannya, di kawasan kampung taraf pendidikannya adalah
rendah jika dibandingkan dengan bandar-bandar yang maju. Oleh hal demikian, kes
pemerdagangan manusia akan berlaku dalam kalangan mereka kerana kurang
pendidikan dalam kalangan mereka menyebabkan mereka tidak tahu apa yang betul
dan apa yang salah. Hal ini turut menyebabkan kes tersebut senang berlaku dalam
kalangan mereka yang kurang menerima pendidikan kerana mereka mudah ditipu oleh
sesorang yang ingin mendapat keuntungan daripada mereka.
2.3 Kesan-kesan
Pemerdagangan Manusia Terhadap Masyarakat Dan Negara
Pemerdagangan manusia menimbulkan kesan yang besar terhadap masyarakat
dan negara. Secara umumnya, kita akan menghadapi masalah kehilangan sumber
tenaga atau kepakaran sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia terus
berleluasa. Kepakaran untuk perkembangan negara dari segi politik, ekonomi dan
sosial mungkin terbatas kerana kepakaran tersebut telah disalahgunakan oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral
tersebut. Sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak dibendung, negara
tidak berupaya untuk beroleh kepakaran yang maksimum kerana sumber idea yang
kurang daripada pelapis-pelapis baru iaitu kanak-kanak dan wanita.
Antara kesan lain kepada masyarakat dan negara ialah pembangunan ekonomi terjejas. Pelancongan ekonomi mungkin mengalami kemerosotan kerana orang luar takut untuk datang melancong ke negara kita. Hal ini mungkin kerana faktor kebimbangan terhadap aktiviti pemerdagangan manusia yang berleluasa yang turut akan menyebabkan masalah sosial meningkat. Kebimbangan tersebut menyebabkan pelancong asing tidak memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka. Ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kerana pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan dan penjana ekonomi negara.
Aktiviti pemerdagangan manusia menyebabkan sistem pemerintahan negara menjadi lemah di mata dunia. Hal ini kerana negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Russia dan lain-lain mungkin beranggapan bahawa sistem pemerintahan negara kita lemah dan tidak sistematik kerana tidak dapat membendung masalah pemerdagangan manusia yang berleluasa. Ini menyebabkan imej negara di mata dunia jatuh. Tidak mustahil perkara ini menjadi penyebab kepada kejatuhan sosioekonomi negara pada masa hadapan.
Masalah
pemerdagangan manusia semakin berleluasa dan mendatangkan impak negatif terhadap masyarakat. Masalah
pemerdagangan manusia akan menyebabkan masyarakat hidup dalam kerisauan.
Nilai kejiranan mungkin tidak lagi wujud dalam kalangan masyarakat kerana risau
anak-anak mereka akan diculik atau ditipu oleh jiran. Sebagai contoh, dewasa
ini ibu yang hendak ke pasar tidak lagi akan meninggalkan anak kecil mereka
kepada jiran, mereka sanggup bawa anak kecil bersama-sama walaupun sangat
menyusahkan. Budaya ini tidak sama seperti dulu, nilai kejiranan semakin terhakis. Silaturahim antara masyarakat akan
semakin renggang.
Selain itu, wabak penyakit turut
merebak ke dalam negara. Pemerdagangan manusia yang semakin menjadi-jadi
memudahkan wabak penyakit menular di Malaysia. Wabak penyakit seperti HIV,
AIDS, H1N1, tibi dan sebagainya mudah merebak sekiranya aktiviti pemerdagangan
manusia tidak dikawal oleh pihak berwajib. Penyakit berjangkit ini bukan sahaja
mudah merebak malah boleh membawa maut kepada masyarakat. Jadi, aktiviti
pemerdagangan manusia ini perlu dibendung agar masyarakat tidak berasa bimbang
akan penyakit berbahaya di sekeliling mereka.
2.4 Langkah-langkah
Untuk Mengatasi Masalah Pemerdagangan Manusia
Penguatkuasaan undang-undang harus
diperketatkan oleh kerajaanuntuk mengatasi masalah pemerdagangan manusia. Pihak
Polis Diraja Malaysia, Kastam, Imigresan dan Maritim Malaysia (APMM) telah
beusaha kuat mengembleng tenaga untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia
ini. Mahkamah khas dan mahkamah malam diwujudkan bagi mempercepatkan proses
pertuduhan serta bicara kes yang berkaitan dengannya. Oleh itu, mangsa-mangsa
yang terlibat tidak terlalu menderita dengan gangguan emosi dan fizikal yang
telah dialami mangsa sebelum ini. Hal ini turut membantu mengurangkan masalah
isu tersebut.
Seterusnya, memperketat kemasukan pelancong asing serta mengawal pintu
masuk sempadan dengan lebih teliti juga merupakan salah satu langkah untuk
mengatasi masalah tersebut. Hal ini disebabkan kawalan
kemasukan pelancong asing akan membantu mengurangkan serta menutup peluang
aktiviti pemerdagangan manusia berlaku. Kawalan ini boleh diadakan dengan menggunakan Akta Imigresen untuk mengesan
kemasukan secara haram.
Kewujudan Pelan Tindakan
Nasional (NAP) di bawah Majlis Anti Perdagangan Orang (MAPO) serba sedikit
telah dapat mengurangkan aktiviti ini. Sejak 2 tahun yang lalu, pihak kerajaan
telah mengambil inisiatif untuk melatih lebih 3000 orang pegawai yang
merangkumi bidang penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman untuk menangani isu
ini. Kerajaan telah berusaha keras untuk membanteras jenayah ini dengan turut
bekerjasama dengan International Organization of Imigrant (IOI), Suruhanjaya
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Amnesty
International Malaysia. Malaysia juga berkongsi kepakaran yang melibatkan
penyeludupan manusia dengan Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan
Belanda.
Selain itu, kempen harus diadakan untuk meningkatkan kefahaman dan profesionaslisme jentera kerajaan dalam penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang 2007. Hal ini demikian kerana masih terdapat segelintir kakitangan kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap isu sosial ini dengan menjadi orang tengah dan menerima rasuah.
2.5 Komen Saya Terhadap Isu Pemerdagangan Manusia
Jenayah pemerdagangan orang ini masih baru dalam masyarakat kita pada hari ini. Oleh itu, tanpa kita sedari kita telah terjerumus dalam kancah hina dengan menjadi mangsa kepada sindiket haram ini. Pengetahuan mengenai jenayah ini mestilah diperluaskan kepada golongan majikan serta orang ramai. Kerjasama antara orang ramai dengan kerajaan amat diperlukan untuk menangani jenayah ini supaya masa depan mangsa dan juga imej negara akan terjaga.
3.0 Penderaan Kanak-kanak
Penderaan kanak-kanak bermaksud dera ataupun satu perbuatan zalim
yang dilakukankepada golongan kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang
daripada 18 tahun. Penderaan
kanak-kanak ini boleh dikelaskan kepada beberapa jenis, antaranya ialah penderaan
fizikal kanak-kanak., penderaan mental kanak-kanak dan
penderaan seksual kanak-kanak. Penderaan fizikal kanak-kanak merupakan sesuatu
penderaan yang kejam yang dilakukan oleh
seseorang dewasa dengan tujuan menyakiti kanak-kanak agar kanak-kanak tersebut
patuh, atau pendera tersebut mengalami masalah mental, ataupun disebabkanbagi
memuaskan diri mereka secara psikologi.
Bagi penderaan
mental kanak-kanak pula terdapat lima kategori tingkah laku buruk ibu bapa yang
dikelaskan sebagai penderaan emosi iaitu kategori atau aspek penolakan,
pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli
dan sikap merasuah fikiran.
Jika tingkah laku tersebut berlaku secara
berterusan ke atas kanak-kanak yang berisiko sehingga menyebabkan kecacatan
psikologi dan emosi kanak-kanak, keadaan inidianggap sebagai penderaan emosi.
Manakala penderaan seksual kanak-kanak merupakan penderaan apabila seorang kanak-kanak
dieksploi-tasi untuk kepuasan seksual oleh seorang dewasa atauseseorang yang
umurnya lebih tua daripada mangsa. Jika seseorang kanak-kanak itutelah
disetubuhi oleh seorang ahli keluarganya, ia dikenali sebagai sumbang mahram.
3.2 Punca-punca Isu Penderaan Kanak-kanak
Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes
penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin
mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja
dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak-anak
yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek
kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang
melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana
perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal. Ibu bapa
yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk
putung rokok, atau sebagainya.
Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan
anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama
amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik
dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada cara
menyelesainya. Oleh hal demikian, pendidikan agama sangat penting dalam
mengurangkan kes penderaan kanak-kanak berlaku.
Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah
kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah
kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas
terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain,
sudah semestinya anak akan menjadi mangsa mereka. Keadaan sebegini amat
menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia
mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Hal ini turut
menunjukkan salah satu faktor bagi kes tersebut.
Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka
kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri
dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih
garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih
barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak
pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
3.3 Kesan-kesan Isu Penderaan Kanak-kanak Berlaku
Terdapat
pelbagai kesan-kesan yang akan berlaku akibat kes-kes penderaan. Kesan-kesan
ini terbahagi kepada dua iaitu kesan terhadap masyarakat yang terdiri daripada
pendera dan mangsa penderaan dan kesan terhadap negara kita.
Jika dilihat daripada kesan
terhadap pendera, pendera berkemungkinan akan bertindak dengan lebih agresif
dari semasa ke semasa. Hal ini kerana tindakannya dalam kes-kes penderaan yang
dilakukannya terdahulu tidak mengakibatkan kesan yang buruk ke atas dirinya.
Jadi, tidak mustahil pendera akan menjadi jauh lebih agresif dan tidak lagi
mengenal mangsanya. Pendera juga berkemungkinan merasa tekanan emosinya hanya
dapat dilepaskan dengan melakukan keganasan ke atas individu lain, oleh itu
menyebabkan dirinya lebih cenderung untuk melakukan penderaan berulang-ulang
kali. Selain itu, hal ini juga mengakibatkan pendera lebih cenderung
untuk melakukan kes-kes penderaan yang lebih agresif dan melibatkan lebih ramai
mangsa, dan merebak ke dalam masyarakat.
Penderaan
kanak-kanak boleh meninggalkan kecederaan pada anggota fizikal mereka. Luka di
muka dan badan meninggalkan kesan penampilan yang tidak baik kepada mereka.
Prestasi pelajaran kanak-kanak mungkin akan menurun. Mereka akan berasa malu ke
sekolah dan kurang berhubung dengan rakan sebaya. Oleh itu, sebahagian mangsa
sanggup ponteng sekolah. Penderaan kanak-kanak menyebabkan gangguan emosi dan mental
kepada kanak-kanak. Kanak-kanak akan menunjukkan satu perubahan drastik seperti
murung, suka menyendiri dan menjadi lebih pasif. Penderaan memberi trauma
kepada mereka dan mereka akan berasa diri tidak disayangi. Kanak-kanak akan
menerima tekanan emosi yang mendalam dan mempengaruhi kehidupan harian kerana
hilang kepercayaan atas diri sendiri. Sebagai contoh, mangsa akan menjadi
penakut untuk menghadapi masyarakat kerana trauma penderaan ke atasnya. Mangsa penderaan lebih
cenderung bertindak dengan lebih agresif dan mengakibatkan mereka melakukan
penderaan terhadap orang lain, termasuklah anak kelak mereka sebagaimana yang
diperlakukan ke atas dirinya.
3.4 Langkah-langkah Untuk Mengatasi Isu
Penderaan Kanak-kanak
Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan
diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan
kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab
mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga
adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak
bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita.
Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada
berlakunya kespenderaan anak-anak.
Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang
lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa
sahaja yang mendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang
boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka
hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.
Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan
kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap
pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada
setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus
dipikul setelah berumah tangga. Mereka akan lebih jelas tentang cara-cara untuk
mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik.
Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.
Bagi membendung masalah-masalah seperti
ini daripada terus menular dalam kalangan golongan yang tidak bertanggungjawab
ini, masyarakat sendiri haruslah memainkan peranan mereka untuk membantu
mengatasi gejala-gejala tersebut. Oleh sebab itu, masyarakat haruslah
menanamkan sikap menjaga orang lain untuk mengetahui apa yang telah berlaku di
sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung aktiviti penderaan
kanak-kanak tersebut daripada berlaku dalam kalangan masyarakat pada zaman
moden ini. Masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Hal
ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta mengeratkan
lagi hubungan silaturahim.Tambahan pula, perpaduan antara masyarakat dapat
dikukuhkan lagi. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras
aktiviti penderaan kanak-kanak daripada berlaku kerana adanya semangat
bersatu-padu dalam kalangan masyarakat.
3.5 Komen Saya Terhadap Isu Penderaan
Kanak-kanak
Penderaan kanak-kanak
merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana
perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting
negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, kanak-kanak
merupakan orang yang akan memberi sumbangan yang banyak kepada masyarakat dan
negara. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang
yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan
negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila
meningkat dewasa. Jadi, sayangilah kanak-kanak dan jauhilah kes penderaan
kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak. Oleh hal demikian,
semua pihak harus bekerjasama untuk mencari jalan bagi mengurangkan serta
menghapuskan kes penderaan kanak-kanak di negara kita.
Sumber Daripada Internet
Fadli Ismail . (12 September 2013) . Kesan-kesan dan langkah-langkah Pemerdagangan
Manusia. Dimuat turun dari http://stpm-study.blogspot.my/2013/09/isi-kesan-pemerdagangan-manusia-dan.html
pada 4.9.2015.
Fadli Ismail.( 26 Ogos 2014). Punca-punca Pemerdagangan Manusia. Dimuat turun dari http://stpm-study.blogspot.my/2014/08/punca-punca-berlakunya-pemerdagangan.html
Helmi. (08 Sep 2004). Penderaan Kanak-Kanak. Dimuat
turun dari http://pts.com.my/berita/penderaan-kanak-kanak-konsep-dan-teori pada
23.8.2015.
Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia (9.9.1999). Pemerdagangan Manusia. Dimuat
turun dari http://www.suhakam.org.my/ms/human-trafficking/ pada 25.8.2015.
No comments:
Post a Comment